Tuesday, March 31, 2009

Solat Jumaat

JUMAAT adalah penghulu segala hari. Ia mengandungi banyak kelebihan dan sebab itu dijadikan hari 'perhimpunan' mingguan umat Islam melalui solat Jumaat. Atas kelebihan itu, ada keterangan menyatakan malaikat yang bertugas pada Jumaat. Diriwayatkan oleh Abu Amer bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhnya di balik Gunung Qof ada sebidang tanah putih yang tiada tumbuhan. Luas tanah itu seperti luas dunia tujuh kali. Di situ penuh sesak dengan malaikat.
"Andai kata sebatang jarum dijatuhkan dari atas, nescaya terjatuh atas satu daripada mereka.
"Tiap-tiap tangan mereka memegang bendera yang panjangnya empat puluh farsakh. Tiap-tiap bendera ada tulisan Laailaahaillallaah Muhammadur Rasulullah.
"Tiap-tiap malam Jumaat, mereka berkumpul di keliling gunung itu untuk merendahkan diri kepada Allah dan memohon keselamatan bagi umat Muhammad.
"Jika fajar Subuh terbit, mereka berdoa: Ya Allah, ampunilah orang yang mandi hari Jumaat.
"Mereka berdoa dengan suara tangis dan keras."
Lalu Allah berfirman: "Hai malaikatku! Apa yang kalian kehendaki?"
Mereka menjawab: "Kami berkehendak Engkau mengampuni dosa umat Muhammad." Jawab Allah: "Aku sudah mengampuni mereka."
Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhnya Allah menciptakan malaikat yang berdiri di bawah Arasy. Ia mempunyai empat puluh ribu tanduk. Sedang jarak antara satu tanduk dengan lainnya sejauh perjalanan 1,000 tahun.
"Di atas tiap-tiap tanduk berbaris empat puluh ribu malaikat. Sedang di atas tengkuk dan di dadanya ada bintang-bintang.
"Tiap-tiap Jumaat, ia bersujud kepada Allah sambil memohon: Ya Allah, ampunilah dosa orang yang mengerjakan solat Jumaat daripada umat Muhammad."
Lalu Allah berfirman: "Wahai malaikat-Ku, saksikanlah bahawasanya aku sudah mengampuni orang yang mengerjakan solat Jumaat." (Kanzul-Akhbar)
Disebutkan dalam sebuah hadis bahawa Allah mencipta sebuah menara diperbuat daripada perak putih, di sebelah Albaitul-Ma'mur. Tinggi menara itu sejauh perjalanan lima ratus tahun.
Pada tiap-tiap Jumaat naiklah Jibril ke atas menara itu dan berkumandanglah azan, lalu Israfil naik ke mimbar dan berkhutbah dan Mikail mengimami malaikat.
Selepas mereka selesai mengerjakan solat, berkatalah Jibril: "Pahala yang aku peroleh daripada azanku diberikan kepada muazin di muka bumi."
Israfil berkata: "Pahala yang aku peroleh daripada khutbahku, kuberikan kepada khatib di muka bumi."
Dan malaikat berkata: "Pahala yang ku peroleh sebab sudah melakukan solat Jumaat di belakang imam, kami berikan kepada seluruh umat Muhammad yang mengerjakan solat Jumaat di belakang imam."
Kemudian Allah berfirman: "Wahai malaikat-Ku, kalian sudah memperlihatkan kemurahan hati demikian rupa, maka demi keagungan-Ku dan kebesaran-Ku, Aku nyatakan hari ini Ku ampuni dosa semua hamba-Ku yang mengerjakan solat Jumaat dalam memenuhi perintah-Ku dan tuntutan kekasih-Ku, Muhammad."
Ada keterangan menyatakan ada malaikat bertugas sebagai penjaga masjid pada Jumaat, adalah sebagai berikut:
Rasulullah S.A.W bersabda: "Tatkala Jumaat datang, Allah mengutus malaikatnya turun ke bumi membawa kalam daripada emas dan kertas daripada perak.
"Catat nama mereka yang berdiri di pintu-pintu masjid, mencatat siapa yang masuk ke masjid." Ketika mereka selesai mengerjakan solat Jumaat, malaikat itu kembali ke langit, lalu melaporkannya kepada Allah: "Wahai Tuhan kami, kami sudah mencatat siapa yang masuk masjid dan bersolat Jumaat."
Lalu Allah berfirman: "Hai malaikat-Ku, demi kemuliaan-Ku dan demi kebesaran-Ku, sudah Aku ampuni segala dosa mereka." (Raunaqul-Majalis)
Dalam riwayat lain, Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang berangkat ke masjid untuk bersolat Jumaat pada jam pertama, seakan-akan dia sudah berkorban seekor unta. Siapa yang berangkat pada jam kedua, seakan-akan dia sudah berkorban seekor lembu.
"Sesiapa yang berangkat pada jam ketiga, seakan-akan dia sudah berkorban seekor kambing. Sesiapa yang berangkat pada jam keempat, seakan-akan dia sudah berkorban seekor ayam.
"Sesiapa yang berangkat pada jam kelima, seakan-akan dia sudah memberi hadiah berupa sebiji telur. " Dan apabila imam sudah naik ke mimbar, dilipatkan buku-bukunya dan diangkat kalam-kalamnya dan mereka berkumpul di sekeliling mimbar untuk mendengar khutbah. "Maka sesiapa yang hadir sesudah itu, seakan-akan dia datang hanya untuk bersolat."

0 comments:

Post a Comment