Sunday, April 5, 2009

The benifit of solah in science

KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat
yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan
kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal
dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.
SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah
banyak dikaji dari sudut kerohanian.
Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap
gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud
serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.
Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?
Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali
setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba
kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh
manusia.
Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat
Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

Ng Siew Chok memakaikan topi elektrod untuk mengkaji gelombang otak.


Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan,
termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan
Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM)
yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan
Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.
Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu
bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang
melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi
tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.

Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka
adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi
kejuruteraan.
Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada
fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.

SOLAT terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

"Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji
aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku
kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi
tubuh," katanya.
Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara
positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku
`Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains' terbitan Jabatan Kejuruteraan
Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.
Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik
di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama,
tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.
Seorang doktor perubatan dari Indonesia , Prof Dr Moh Sholeh,
melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.
Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti
dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi
dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya
solat tahajud boleh merawat barah.
Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti
Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio
Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat
warga tua yang sakit tulang.
Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi
jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian
itu.
Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian
berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan
solat antara orang biasa dan ulama.
"Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika
bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang
berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa
al-Quran," katanya.
Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela
menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka
yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah
dari kumpulan tertentu.
Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan
kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan
proses solat merawat pelbagai penyakit.
Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh,
katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi
kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara
gerakan solat merawat penyakit itu.
Sembahyang juga boleh rawat penyakit kritikal

Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan Ng Siew Chok
bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya
mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu
meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.
Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil
kajian masing-masing.
Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot
Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa
melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila
selalu digunakan.
Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh
seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam
beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai
aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan
fizikal tubuh," katanya.

Dr Fatimah meneliti kertas bacaan ujian yang keluar dari alat analisis
penyepadanan bio.


Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan
secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap
pasti otot yang aktif ketika solat.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak
Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses
kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik
boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala.
Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk
mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.
"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi
oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz)
menunjukkan keadaan tenang," katanya
Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang
dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas
bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.
" Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika
sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya
bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,"
katanya.
Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang
menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.
Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu
perkara dan memperkuatkan kuasa otak.
Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan
otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu
dihadapinya dalam aktiviti harian.
Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh
Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama,
iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.
Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh,
tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang
menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding
pengambilan darah.
"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini,
tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status
penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit
kritikal lain," katanya.
Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh
terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali
sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk
dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara
sujud dan tahyat akhir.
Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini
mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.
Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat
berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat
secara bersendirian.
"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat
bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat,
cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya
meneutralkan cas tubuh.
"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika
solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan
mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas
negatif," katanya.
Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai
badan bertenaga dan lebih tenang.
Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan
dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.
Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21
hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan
tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak
yang meningkat serta paras glukos rendah.
Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat
sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan
senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan
solat.
Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran
saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang
belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.
Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat
selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit
pinggangnya berkurangan.
"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit
pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan
saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan
Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama
seperti gerakan solat," katanya.
Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau
lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat
takut.
Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan
ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.
"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan
ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas
melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat
tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,"
katanya.
Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat
sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat
atau kira-kira 30 minit
Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar
sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini,
kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling
rendah adalah ketika berbaring.
"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar
denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini
menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.
Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas
untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit
jantung.
Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh
memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan
senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman
selama 30 minit setiap hari.

0 comments:

Post a Comment